Nicolas Maduro. foto Agensi

CARACAS – Presiden Venezuela mendakwa Amerika Syarikat cuba membunuhnya dan menjatuhkan kerajaannya.

Nicolas Maduro berkata, Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat, John Bolton secara peribadi terlibat dalam plot itu tetapi tidak mengemukakan sebarang bukti.

“John Bolton telah ditugaskan mengatur pembunuhan saya, mengerahkan pasukan asing dan melaksanakan peralihan kerajaan di Venezuela,” katanya kepada wartawan di Istana Miraflores.

Awal minggu ini, Amerika Syarikat mengkritikan kedatangan dua pengebom Rusia ke Venezuela.

Maduro berkata, rakyat Venezuelan bersedia melawan dengan bantuan “negara-negara yang bersahabat.

Ini bukan kali pertama dakwaan seumpama itu dibuat oleh Presiden tersebut.

Maduro sebelum ini menuduh Amerika Syarikat serta Colombia dan parti pembangkang Venezuela merancang untuk membunuhnya.

Amerika Syarikat semakin bimbang dengan kerajaan Venezuela yang meningkatkan hubungannya dengan Rusia, China dan negara-negara yang berbeza pandangan dengan pentadbiran Trump. – MalaysiaGazette