KUALA LUMPUR – Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini disokong permintaan lebih baik terhadap mata wang tempatan.

Pada 9.18 pagi, ringgit berada pada 4.1800/1840 berbanding dolar AS daripada 4.1830/1880 penutup semalam.

Peniaga berkata, tumpuan pelabur beralih kepada nota tempatan dan dolar AS pula menunjukkan tanda-tanda kelembapan, dengan data harga pengguna AS tidak berubah pada November.

“Data yang lebih rendah daripada jangkaan menyokong pandangan inflasi kekal kukuh, tetapi tidak mencukupi untuk memaksa Rizab Persekutuan mengambil pendirian yang lebih agresif, sekali gus mengurangkan jangkaan beberapa kenaikan kadar faedah pada tahun depan,” katanya.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih lemah berbanding mata wang utama lain, kecuali dolar Singapura yang mana ia hampir tidak berubah pada 3.0462/0493 daripada 3.0462/0509.

Ringgit susut berbanding yen pada 3.6861/6906 daripada 3.6858/6912, turun berbanding pound kepada 5.2747/2815 daripada 5.2434/2501 dan susut berbanding euro pada 4.7514/7580 daripada 4.7398/7471. – MalaysiaGazette