Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Seramai 36 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sudah menandatangani surat akuan sebagai tanda sokongan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah untuk memberi sokongan kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri bukan dibuat secara tergopoh-gapah.

Sebaliknya, beliau menegaskan, keputusan itu dibuat bersama Ahli Parlimen BN yang lain mengambil masa hampir sebulan, menurut lapor NSTP.

“(Seramai) 33 Ahli Parlimen UMNO, satu PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) dan dua MIC tandatangan sokongan kepada PM (Perdana Menteri). Keputusan ini bukan buat sehari dua, tetapi sudah hampir sebulan yang lalu.

“Kumpulan yang tandatangan ini ikhlas mahu pastikan kestabilan kerajaan sekarang dalam memastikan tidak ada pihak gunakan parlimen untuk jatuhkan PM sebab kita ada dengar ura-ura.

“Kita beri sokongan kepada PM untuk memastikan kestabilan politik. Kita tidak mahu ada unsur-unsur perpecahan sehingga rakyat keliru. Inikan pula pelabur luar kerana bila pelabur lihat politik tidak stabil…mereka tidak mahu melabur dalam negara ini.

“Jika tidak, politik tidak stabil menyebabkan kesan lebih besar kepada semua terutama rakyat. Itu sebab kita mahu bagi kestabilan dan kita menyokong PM untuk meneruskan kepemimpinannya. Semua ini demi kepentingan negara, rakyat supaya kita dilihat sebagai sebuah negara yang ada masa depan,” katanya.

Beliau juga memberi jaminan akan menyokong Dr Mahathir jika Perdana Menteri menerima desakan daripada mana-mana pihak.

Ditanya adakah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tahu bahawa kumpulan Ahli Parlimen berkenaan beralih menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir, Hamzah memberitahu bahawa bekas ‘bos’ tidak tahu.

Katanya, beliau ‘bersepakat’ bersama yang lain untuk tidak memaklumkan perkara itu kepada Ahmad Zahid.

Beliau juga menegaskan, tiada syarat yang dikenakan dalam proses pengalihan sokongan daripada Ahmad Zahid kepada Dr Mahathir. – MalaysiaGazette