Refleksi pengunjung kelihatan pada cermin tingkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). FOTO : FAREEZ FADZIL

KUALA LUMPUR- AirAsia Bhd. tidak bertanggung jawab untuk mengutip cukai lapangan terbang bagi pihak Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MASSB) dan dengan itu kumpulan penerbangan tambang murah itu enggan untuk mengutip caj tambahan iaitu sebanyak RM23 yang dikenakan kepada penumpang bermula 1 Februari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Samat menegaskan, penumpang yang menggunakan klia2 tidak sepatutnya dikenakan caj yang sama dengan pengguna terminal utama KLIA.

Ini kerana klia2 adalah sebuah terminal kos tambang murah yang menyediakan paras perkhidmatan yang jauh lebih rendah berbanding KLIA yang merupakan sebuah terminal perkhidmatan penuh.

Malah AirAsia menurut beliau telah beberapa kali membuat aduan rasmi berhubung infrastruktur dan akses yang tidak memuaskan di klia2 yang telah menjejaskan operasi dan ketepatan waktu syarikat penerbangan tersebut.

Antara isu berbangkit adalah kerosakan apron, tanah mendap, banjir, penutupan landasan secara tiba-tiba serta penutupan pintu pelepasan.

“Berdasarkan pengiraan kami ini, tuntutan bertindih tersebut adalah melebihi jumpah cukai lapangan terbang yang enggan kami kutip daripada pelanggan bagi pihak MASSB.

“Tambahan pula, sementara MASSB hanya mengambil kira mengenai “kepentingan pemegang taruh dan kakitangan” seperti yang dinyatakan di dalam Writ Saman tersebut, AirAsia selaku sebuah syarikat penerbangan rakyat mengambil kira kepentingan umum, industri pelancongan dan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Riad, setakat hari ini AirAsia telah membayar RMRM663,051,008.52 cukai lapangan terbang kepada MASSB.

Rabu lalu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyaman AirAsia Group Bhd dan AirAsia X Bhd (AirAsia X) sebanyak RM36.11 juta kerana kegagalan syarikat penerbangan tambang murah itu melunaskan cukai lapangan terbang.

Dalam notis kepada Bursa Malaysia, AirAsia berkata, anak syarikat MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB) telah memfailkan tuntutan mahkamah terhadap unit milik penuh syarikat AirAsia Bhd (AAB) bagi menuntut caj perkhidmatan penumpang (PSC) berjumlah RM9.4 juta yang belum dibayar.-MalaysiaGazette