Parti Amanah Negara (Amanah) bersedia membuka pintu kepada mana-mana bekas pemimpin dan anggota UMNO sekiranya mereka berminat menyertai parti itu.
Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil langkah progresif bagi membuka semula pintu rundingan kepada parti-parti pembangkang yang lain bagi membina semula imej dan kekuatan menjelang tahun hadapan.- Gambar hiasan.

IPOH – Parti Amanah Negara (Amanah) bersedia membuka pintu kepada mana-mana bekas pemimpin dan anggota UMNO sekiranya mereka berminat menyertai parti itu.

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata bagaimanapun, pihaknya akan mengadakan perbincangan dan meneliti terlebih dahulu sebelum menerima penyertaan bekas pemimpin serta anggota parti pembangkang itu.

“Kita (Amanah) akan bincang dan buat keputusan bersama-sama dengan (parti komponen) Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita pada Konvensyen Nasional Amanah 2018 di sini hari ini.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata perkara itu akan dibincangkan dalam konvensyen penuh sekiranya terdapat usul yang dibangkitkan oleh anggota perwakilan.

UMNO berhadapan dengan krisis apabila beberapa pemimpin termasuk wakil rakyatnya mengumumkan keluar daripada parti itu dengan menjadi wakil rakyat bebas dan ada yang kemudiannya menyertai parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Dua hari lepas, hampir keseluruhan barisan kepimpinan UMNO Sabah termasuk pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor mengumumkan keluar parti.

Mereka terdiri daripada enam anggota Parlimen, sembilan wakil rakyat, dua senator dan 21 ketua bahagian negeri itu.

Pada 2 Dis lalu, bekas Naib Presiden Gerakan, Tan Sri Liew Yun Fah bersama lebih 1,000 orang dari Parlimen Tawau dan Kalabakan menyertai Amanah.

Hari ini, bekas anggota jawatankuasa pusat parti Gerakan Datuk Loo Yeng Peng secara rasmi mengumumkan menyertai Amanah.

Loo yang pernah menjadi Anggota Parlimen Puchong pada 2004 hingga 2008 berkata beliau menyertai parti itu selepas melihat Amanah daripada semua sudut terutama misi dan objektif serta hala tuju parti itu.

— BERNAMA