Daging-daging anjing dijual di kebanyakan ke kedai di bandar Hanoi.

HANOI- Pihak berkuasa Hanoi meminta penduduknya supaya berhenti memakan daging anjing kerana ia boleh menjejaskan reputasi bandar itu dan mengelakkan penyakit berjangkit.

Jurucakap Jawatankuasa Rakyat Hanoi berkata, perbuatan tersebut telah menyebabkan mereka ‘dipandang serong’ dan dianggap tidak bertamadun oleh pihak luar.

Sementara itu tinjauan Malaysia Gazette mendapati, penjualan daging anjing masih berleluasa terutama di pasar-pasar yang terletak pinggir bandar raya tersebut.

Difahamkan tidak kurang daripada 1,000 kedai di Hanoi bukan saja menjual daging anjing tetapi juga daging kucing.

Walaupun permintaan daging anjing tidak setinggi daging khinzir, namun jumlah penggemarnya masih tinggi hingga ada anjing yang diseksa dan dibunuh dengan kejam semata-mata bagi memenuhi permintaan pasaran.

Dianggarkan kira-kira 490,000 ekor anjing dan kucing terdapat di Hanoi dan kebanyakannya ialah haiwan belaan.

WhatsApp Image 2018-12-14 at 19.05.40
Walaupun pihak berkuasa Hanoi meminta penduduknya berhenti makan daging anjing namun ia masih mendapat permintaan.

Walaupun gesaan untuk mengharamkan pemakanan anjing mendapat reaksi positif namun banyak pihak merasakan ia sukar dilaksanakan memandangkan ia merupakan makanan tradisi penduduk setempat.

Antara langkah yang dilihat paling efektif adalah mengenakan cukai yang tinggi terhadap daging anjing dan menghadkan penjualannya di kawasan-kawasan tertentu sahaja. – MalaysiaGazette