Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau. foto HAZROL ZAINAL, 14 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Gerakan menyeru kepada ahli politik yang bertindak keluar parti dan sedang berkira-kira untuk melompat untuk berfikir terlebih dahulu tentang kepentingan rakyat di negara ini dan bukan hanya kepentingan politik semata-mata.

Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau berkata, adalah tidak sihat seandainya barisan pembangkang berterusan melompat ke pihak kerajaan sehingga tidak ada lagi keseimbangan ‘semak imbang’ kelak kerana tiada lagi suara pembangkang untuk bersuara lantang.

Kata Dominic, pihaknya tidak menyokong tindakan seseorang ahli politik itu yang mempunyai jawatan atau kuasa sebagai wakil rakyat untuk melompat ke parti lain demi peruntukan dan kuasa.

Sebaliknya, beliau mencadangkan golongan ini untuk bertindak meletak jawatan dan kekal bebas.

“Kami bukan mahu campur urusan UMNO atau komponen Barisan Nasional (BN) lagi kerana Gerakan sudah keluar sejak 23 Jun lepas. Kita sudah tidak ada kena mengena lagi.

“Jika anda tidak boleh terima idealogi parti, anda seharusnya letak jawatan atau bebas. Itu yang sebaiknya kerana pada dasarnya, anda bukan hanya menang di undi rakyat diri prestasi diri sendiri sebaliknya parti telah memberikan kekuataan itu.

“Pada masa yang sama, langkah melompat parti sebenarnya mungkin akan merugikan rakyat. Kita memerlukan pembangkang juga bagi semak dan imbang pentadbiran kerajaan. Jika semuanya sudah ‘lari’ siapa akan menjadi pembangkang dan suara?,” katanya sebentar tadi kepada pemberita tadi.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mengesahkan keluar UMNO hari ini dan menyatakan hasrat mahu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Semalam, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermiyati yang sebelum ini bekas Ketua Puteri UMNO sebelum menjadi wakil rakyat bebas bertindak menyertai PPBM semalam.

Setakat jam 4.40 petang ini, enam wakil rakyat UMNO mengisytiharkan keluar parti hari ini sahaja. -MalaysiaGazette