Harga gula di Malaysia sepatutnya mengalami penurunan selepas harga gula putih dunia menjunam.
Bekalan semua jenis gula sepatutnya mencukupi. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Harga gula di Malaysia sepatutnya mengalami penurunan selepas harga gula putih dunia menjunam.

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia, Hong Chee Meng berkata, kerajaan sepatutnya mengurangkan kira-kira 50 sen daripada harga jualan sekarang iaitu RM2.85 sekilogram.

Katanya, walaupun kerajaan tidak menggalakkan pengambilan gula berlebihan atas faktor kesihatan, tetapi gula masih merupakan barang keperluan harian yang penting selain menjadi bahan mentah utama untuk pelbagai jenis makanan.

Beliau berkata, harga gula tempatan juga tidak harus terlalu jauh berbeza berbanding trend harga antarabangsa.

“Minuman seperti Milo dan air koko semuanya menggunakan gula. Dari kilang, kedai kopi sampailah suri rumah tangga, semuanya membeli gula,” katanya kepada China Press.

Berikutan daripadanya, beliau berharap kerajaan menurunkan harga gula selari dengan pergerakan harga dunia.

Tambahnya, pengimport kini boleh membeli gula pada harga lebih rendah iaitu RM1.20 hingga RM1.30 sekilogram.

Katanya, walaupun menanggung kos pengangkutan dan pembungkusan, pengimport masih boleh mendapat keuntungan jika gula dijual RM2.35 sekilogram berbanding harga semasa RM2.85. – MalaysiaGazette