Suasana sekitar Masjid Al-Noor di Hoan Kiem, Hanoi, Vietnam. foto FAREEZ FADZIL, 14 DISEMBER 2018

HANOI – Pada setiap hari Jumaat, Masjid Al-Noor, satu-satunya masjid di bandaraya ini akan dipenuhi kira-kira 300 orang penganut agama Islam untuk mengerjakan solat Jumaat.

Daripada itu, jumlah penduduk Vietnam hanyalah 55 orang manakala selebihnya adalah petugas kedutaan asing di sini.

Terletak di Nombor 12 Jalan Hang Luoc, masjid ini dikatakan berusia lebih daripada 100 tahun!

Ia ditadbir oleh seorang warga Vietnam yang mempunyai darah kacukan Pakistan, Doan Hong Cuong.

Beliau yang telah 20 tahun menjaga masjid berkenaan mengambil alih peranan tersebut daripada bapanya.

Malaysia Gazette difahamkan, komuniti masyarakat India Muslim yang berniaga di sini telah mengumpul sejumlah dana sebelum mendirikan Masjid Al-Noor ini pada tahun 1885 sebelum digunakan secara rasmi lima tahun kemudiannya.

Ia dibina mengikut seni bina Islam siap dengan kubah serta menara.

Pada tahun 2011, kerajaan Vietnam telah membenarkan pembentukan jawatankuasa Lembaga Pemegang Amanah Masjid Al-Noor yang secara tidak langsung telah mengiktiraf mereka untuk mewakili hal ehwal serta kebajikan masyarakat Islam di Hanoi. – Malaysia Gazette.