Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Ucapan Penggulungan Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 30 SEPTEMBER 2018
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli UMNO diminta tidak panik dengan tindakan sebahagian pemimpin yang bertindak keluar parti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan keadaan keluar parti itu bersifat sementara.

Malah, beliau berkata, situasi meruncing yang melanda UMNO sekarang mungkin harga yang terpaksa dibayar apabila parti ingin kembali kepada perjuangan sebenar dalam memartabatkan agama dan bangsa.

“Biarpun terdapat yang tinggalkan Umno, kita percaya ianya tidak menjejaskan dokongan akar umbi. Ini bersifat sementara,” katanya menerusi Twitter.

Ini bukan kali pertama Ahmad Zahid meminta ahli-ahli bertenang kerana kenyataan sama pernah dikeluarkan semasa mengulas tindakan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman meninggalkan UMNO pada September lalu.

Ketika itu beliau turut meminta semua pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat agar berlapang dada dan terus memberi keyakinan kepada kepimpinan dalam menangani keadaan tersebut.

UMNO kini dilihat semakin meruncing apabila jumlah Ahli Parlimen meninggalkan parti itu selepas Barisan Nasional kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu.

Parti itu mendahului kedudukan Parlimen dengan 54 kerusi, sebelum jumlah itu merosot ekoran beberapa Ahli Parlimen meninggalkan UMNO.

Pada Selasa lalu, UMNO Sabah mengumumkan sebahagian besar kepimpinannya keluar meninggalkan parti tersebut dan hari ini enam lagi Ahli Parlimen membuat tindakan sama. – MalaysiaGazette