KUALA LUMPUR – Juara Pencetus Ummah (PU) 2015, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih sinonim dengan sapaan PU Syed mendedahkan namanya antara senarai penceramah yang tidak digalakkan untuk ke udara dan stesen radio dan televisyen.

Dalam satu status di Facebook, PU Syed mendakwa penyenaraian itu berkuatkuasa mulai Januari depan dan turut melibatkan nama-nama terkenal.

“Saya tidak kisah jika disekat untuk ke udara di tv atau radio milik kerajaan atau swasta.

“Zaman ini siaran langsung kita boleh buat sendiri.. Bila-bila masa dan di mana jua.. Kenapa nak bersedih? Relaks-relaks saja,” katanya dalam Facebook beliau.

Menurut beliau, sekiranya beliau bersama kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah tentu beliau tidak akan di ‘gam’ oleh mana-mana syarikat televisyen mahupun radio.

“Saya sejak zaman BN memerintah, jika ada salah, saya akan tegur, dan saya tak takut! Kena buang dari mengajar di masjid pada zaman BN itu sudah biasa.

“Mungkin mereka tak tahu bahawa ujian terhadap usaha dakwah para anbiya lagi dahsyat sehingga ada yg dibunuh oleh kaumnya,” katanya lagi.

Antara nama-nama yang didakwa turut tidak dibenarkan adalah Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias, Syamsul Amri Ismail atau Shamsul Debat, Dr. Redzuan Tee, Ustaz Abdullah Khairi, Ustazah Morhafizah Musa, Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Zamihan Mat Zin dan Ustaz Amirul Amin (PU Amin).

MalaysiaGazette turut mendapatkan pengesahan daripada Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan hal ehwal agama, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.

Menurut sumber yang rapat dengan pejabat menteri, pihaknya tidak maklum akan senarai yang didedahkan oleh PU Syed.

“Setahu saya pejabat menteri tiada ada keluarkan senarai sebegitu,” katanya kepada MalaysiaGazette.