KUALA LUMPUR – Pilihan raya perlu dilakukan semula susulan tindakan besar-besaran wakil rakyat UMNO sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen meninggalkan parti itu.

Sekretariat Bersih Sabah berkata, pilihan raya harus dibuat semula bagi memberi peluang kepada rakyat menentukan calon yang tepat bagi kerusi tersebut yang lebih berprinsip dan jujur kepada perjuangan membela rakyat.

Menurutnya, tindakan wakil-wakil rakyat yang keluar parti secara beramai-ramai itu disifatkan sebagai perbuatan curang dan mengkhianati mandat rakyat yang diberikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Ini kerana, rakyat memilih wakil-wakil rakyat berdasarkan manifesto serta platform parti politik yang mereka wakili.

Lantaran itu, Bersih Sabah mengingatkan Pakatan Harapan supaya menolak wakil-wakil rakyat yang bertindak demikian dan menyatakan sokongan kepada parti pemerintah.

“Sebelum ini kami pernah memberi amaran budaya lompat parti pada kenyataan media bertajuk ‘Hormat Suara Rakyat, Hentikan Budaya Melompat, Utamakan Prinsip’ pada 12 Mei 2018 sejurus selepas pembentukan Kerajaan Negeri Sabah.

“Gesaan yang serupa dilaungkan oleh Bersih 2.0 pada 1 November 2018 apabila pendedahan oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berikutan 40 Ahli Parlimen UMNO yang katanya akan menyertai parti tersebut.

“Hari ini 5 Ahli Parlimen dan 9 ADUN UMNO Sabah telah mengisytiharkan keluar parti dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri Tun Mahathir,” kata Sekretariat Bersih Sabah dalam satu kenyataan di sini.

Bersih Sabah berkata, sekiranya Pakatan Harapan mahupun Warisan menerima wakil-wakil rakyat tersebut maka terbukti Pakatan Harapan tidak mahu negara ini mempunyai demokrasi yang berkesan serta pihak yang dapat memberi teguran kepada sebarang polisi mahupun tindakan kerajaan.

Ini akan membuka ‘kotak pandora’ (membuka atau terbukanya aib) yang akan mengabsahkan segala tindak-tanduk kerajaan walaupun ianya salah.

Tegasnya, wakil rakyat harus tahu bahawa platform bagi memperjuangkan hak rakyat tidak terhad hanya menjadi penyokong kepada kerajaan sahaja.

“Menjadi pembangkang yang baik juga adalah satu bentuk perjuangan bagi menegur segala tindak-tanduk kerajaan yang dirasakan tidak absah serta perkara ini akan memperbaiki dengan lebih baik segala polisi-polisi yang bakal dibentuk kelak.

“Menjadi pembangkang bukanlah satu penghinaan malah ianya adalah platform yang berbeza bagi mengisi kemenangan dan berkhidmat kepada rakyat,” kata Bersih Sabah.

Malah, ia mengulangi gesaan agar pihak parti pemerintah menolak wakil rakyat yang melompat parti ini demi memastikan demokrasi dalam negara berjalan sebagaimana yang sewajarnya dengan mempunyai pembangkang yang kuat dan berpengalaman memerintah. – MalaysiaGazette