Mohamad Hasan
Mohamad Hasan.

KUALA LUMPUR – Budaya politik berkuasa dan politik wang telah menyebabkan perjuangan dalam UMNO menjadi rapuh dan terjerumus pada tahap rendah dan lemah.

Sambil mengakui sedih dan risau pada tahap sangat mendalam , Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keadaan yang melanda UMNO pada masa ini terjadi kerana pemimpin-pemimpinnya tidak mengamalkan politik berprinsip.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, perjuangan berprinsip terbit daripada keyakinan moral yang mendalam bahawa apa yang diperjuangkan itu benar-benar jiwai. Perjuangan berprinsip juga cerminan nilai, pemikiran, keperibadian dan wibawa diri sendiri.

Tegasnya, pemimpin yang berprinsip tidak akan sama sekali berkompromi dengan nilai dan kepercayaannya.

“Tetapi sesuatu yang mesti ada dalam perjuangan ialah prinsip. Perjuangan tanpa prinsip ialah perjuangan yang rapuh dan pasti tidak berkelangsungan.

“Semakin kita maju, membangun dan terkehadapan, semakin susut kepercayaan bahawa perjuangan dan kepimpinan mestilah berasaskan prinsip.

“Kita berhadapan dengan kepercayaan bahawa orang yang berprinsip itu terlalu idealis. Lalu kebanyakan kita mengutamakan politik, bukan prinsip,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook beliau.

Dalam kenyataan panjangnya, beliau yang mesra dipanggil Tok Mat berkata, UMNO pasca moden ini, prinsip itu tiada pesona dalam amalan politiknya.

“Yang menjadikan seseorang itu ahli politik berjaya dan berpengaruh, adalah dengan siapa dia mempersekutukan dirinya kerana ukuran kejayaan dalam UMNO selama ini, ialah pengaruh dan wibawa kepada mereka yang berwang dan berharta.

“Politik wang begitu membarah merupakan sebab yang telah membawa kepada tersungkurnya UMNO dari tampuk pemerintahan negara.

“Dan selepas tewas pun, politik wang masih terus menjadi budaya. Sesiapa yang punyai wang, pasti boleh menguasai ahli parti,” ujarnya.

Mohamad mengakui selama berpuluh tahun berjuang dalam UMNO, sedikit benar parti itu berbicara tentang ideologi UMNO iaitu tentang prinsip dan kepercayaan yang menjadi teras parti.

Disebab itu, pemimpin yang mempunyai pemikiran besar, idea luar biasa, keteguhan keperibadian dan keyakinan yang mendalam terhadap perjuangan, jarang sekali mendapat tempat dalam parti.

Lantaran itu, beliau sangat yakin, usaha untuk merawat, memulih dan membangunkan UMNO ini mestilah dengan mengembalikan kepimpinan berprinsip dan bermoral.

“Kita mesti kembali ke fitrah, bahawa pemimpin mesti diyakini kerana kebenaran nuraninya, bukan pesona kuasanya. UMNO akan terus susut tanpa pemimpin berprinsip dan mempunyai wibawa moral yang utuh,” tambahnya.

Jelasnya, UMNO akan kembali pulih jika parti itu boleh mencari pemimpin yang berpegang kepada prinsip perjuangan yang sebenar.

Kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, sudah sampai masanya UMNO mencari mereka yang yakin dengan ideologi parti itu yang hakiki iaitu memperjuangkan politik pertengahan yang akan memberi kebaikan kepada bangsa Melayu dengan sebanyak-banyaknya, tanpa mengabaikan kepentingan rakyat Malaysia yang lain.

“Hanya mereka yang percaya dengan prinsip ini, meyakini ideologi ini, dan menjiwai pemikiran ini, akan mampu memberikan kepimpinan berwibawa untuk bangsa Melayu dan Malaysia yang berkemajuan,” ujarnya.

Mohamad bertekad untuk memperbaiki keadaan UMNO yang tenat ini dengan mencari dan membangunkan pemimpin baharu yang berprinsip dan mempunyai kekuatan rohani dan moral yang unggul.

“Tanpa mereka sebegini, bukan sahaja UMNO, malah mana-mana parti politik sekalipun, pasti akan menempuh detik pengakhirannya,” katanya penuh makna.- MalaysiaGazette