Menteri Pengakutan Malaysia, Anthony Loke.

PUTRAJAYA – Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan mengalami penstrukturan semula selepas penubuhan Lembaga Pengangkutan Malaysia (MTSB) dibuat tahun depan.

Ia bagi memastikan tiada pertindahan tugas akan berlaku.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, MTSB akan bertanggungjawab menyiasat punca kemalangan manakala polis pula siasat unsur jenayah yang terlibat.

“Sudah tentunya kerajaan baharu tidak mahu menambah beban kepada kewangan kerajaan. Tidak akan berlaku pertindihan dengan polis.

“Peranan polis membabitkan sebarang unsur jenayah, pelanggaran Akta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kalau melibatkan kematian dan sebagainya… itu polis.

“MTSB melihat kepada punca sesuatu kemalangan itu,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas majlis menandatangani Momurandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), MIROS dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Jelas beliau, MTSB akan menjalankan siasatan dengan lebih komprehensif berhubung kes kemalangan.

“Selama ini tiada satu badan khusus menyiasat apa-apa kemalangan, biasanya ia disiasat oleh pihak polis, teknikalnya disiasat oleh MIROS tapi kita nak tubuhkan MTSB supaya lebih komprehensif supaya apa-apa punca kemalangan dapat dikenalpasti dengan lebih tepat,” kata beliau lagi.

Anthony memberi jaminan penubuhan agensi baharu yang dijangkakan dibentangkan pada persidangan kali kedua Dewan Rakyat tahun 2019 tidak akan melibatkan pertambahan kewangan besar kepada kerajaan.

Untuk rekod, penubuhan MTSB adalah salah satu cadangan Panel Kaji Semula Syor (RRP), sebuah panel bebas yang diwujudkan kementerian itu.

Ia mencadangkan keperluan untuk menubuhkan lembaga khas bagi menyiasat kemalangan jalan raya di seluruh negara. -MalaysiaGazette