KUALA LUMPUR – Pemandu lebuh raya kini boleh mengecas kenderaan elektrik (EV) dan kereta hybrid di stesen pengecas elektrik berasaskan solar di Restoran Jejantas Ayer Keroh secara percuma, hasil kolaborasi bersama PLUS-MGTC-UNIDO.

Stesen pengecas tersebut menggunakan 100 peratus tenaga boleh baharu solar.

Stesen pengecas tersebut bakal memudahkan pengguna untuk mengecas EV atau Hybrid Plug-in (PHEV) mereka di kawasan-rehat dan rawat (R&R) PLUS dengan lebih cepat, pantas dan dalam persekitaran selamat.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, pelancaran stesen pengecas EV itu itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Ia selaras dengan matlamat PLUS dalam memberikan pengalaman perjalanan di lebuh raya yang lebih positif dan intuitif kepada orang ramai menerusi teknologi dan inovasi.

Inisiatif ini sebahagian daripada usaha untuk memperluaskan teknologi hijau dan pemuliharaan alam sekitar melalui penggunaan tenaga boleh baharu seperti tenaga solar.

“Sebanyak 1.7 juta kenderaan menggunakan Lebuhraya PLUS setiap hari.

“Kami percaya stesen pengecas kenderaan elektrik akan memudahkan pemandu yang menggunakan kenderaan elektrik, terutama yang menggunakan laluan antara Kuala Lumpur-Ayer Keroh atau Johor Bahru-Ayer Keroh secara harian ketika hujung minggu mahupun sewaktu cuti sekolah,” kata Azman.

Stesen pengecas itu telah beroperasi sejak Mei tahun ini, menawarkan perkhidmatan pengecas kenderaan elektrik secara percuma dan telah mendapat respons positif daripada pemilik kenderaan elektrik.

Katanya, perbincangan telah dijalankan untuk menyediakan stesen pengecas kenderaan elektrik berasaskan tenaga solar di kawasan rehat dan rawat yang lain seperti di R&R Pagoh (arah selatan), Tapah (arah selatan), Dengkil (arah selatan), Gunung Semanggol (arah utara) dan Seremban (arah utara). – MalaysiaGazette