Datuk Darell Leiking.
Datuk Darell Leiking

KUALA LUMPUR – Parti Warisan Sabah (Warisan) menyalakan lampu merah dengan tidak mengizin Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) daripada memasuki Sabah.

Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking berkata, Bersatu telah mencapai persetujuan dengan Warisan supaya tidak akan memperluaskan pengaruhnya ke Sabah.

Beliau percaya Bersatu tidak akan melanggar persetujuan itu kerana Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menggambarkan Warisan sebagai rakan sekutu.

Katanya, Warisan juga mengekalkan hubungan baik dengan Pakatan Harapan, termasuk menyokong usaha pakatan politik tersebut.

Beliau berkata demikian kepada China Press sebagai mengulas laporan bahawa terdapat permintaan supaya Bersatu meluaskan sayapnya ke Sabah selepas berlaku gelombang keluar UMNO di negeri itu.

Ditanya sama ada terdapat bekas wakil rakyat UMNO yang akan menyertai Warisan, Darell sekadar berkata: “Tidak tahu.”

Beliau bagaimanapun berkata, wakil rakyat yang bertukar haluan biasanya akan menyertai parti baharu secara bersyarat, keadaan yang mungkin tidak saksama buat ahli asal.

“Kalau mereka mahu menyertai parti lain termasuk Warisan, maka mereka harus ikhlas dan bukannya untuk mendapat kuasa.

“Dengan lain kata, mereka tidak dilarang menyertai parti lain, tetapi mereka tidak harus datang secara bersyarat yakni mahu mendapat jawatan tertentu,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan