Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melihat jenis buku sejarah Islam sambil diiringi Pengerusi Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al -Bukhary (kiri) ketika melawat Perpustakaan Scholar pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Muzium Kesenian Islam di Muzium Kesenian Islam, Jalan Lembah Perdana, Tasik Perdana, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 14 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – “Muhammad Zahid Md Arip masih pegawai saya buat masa ini,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri itu berkata, beliau akan membuat sebarang keputusan berhubung status Setiausaha Politiknya itu apabila siasatan terhadap yang beliau hadapi selesai.

“Tunggulah. Baru tuduhan sahaja. Betul atau tidak, kita tidak tahu.

“Tuduhan sahaja, (beliau) masih berkhidmat. Jika sudah terbukti bersalah barulah beliau tidak lagi berkhidmat dengan saya,” katanya kepada media selepas menghadiri sambutan ulang tahun ke-20 Muzium Kesenian Islam di ibu negara hari ini.

Zahid hari ini dikaitkan dengan pertuduhan rasuah melibatkan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Nama beliau disebut dalam sembilan daripada 10 pertuduhan yang dikenakan terhadap Mohd Isa yang didakwa menerima sogokan RM3 juta daripada pembelian sebuah hotel di Kuching.

Zahid didakwa menjadi orang tengah antara seorang pengarah di syarikat Gagasan Abadi bernama Ikhwan Zaidel dan Mohd Isa.

Beliau pernah ditangkap SPRM pada Ogos lalu berhubung urusan pembelian hotel itu dan telah direman selama lapan hari.

Mohd Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 10 pertuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah dan menerima rasuah berjumlah RM3.09 juta berhubung pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak bernilai RM160 juta oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Beliau bagaimanapun mengaku tidak mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan dan mohon dibicarakan.

Kesalahan didakwa dilakukan antara 29 April 2014 hingga 11 Disember 2015 di Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM800,000 dengan seorang penjamin, manakala pasportnya diserahkan kepada mahkamah. – MalaysiaGazette