Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi berjalan keluar ketika hadir ke mahkamah berhubung kes kesalahan pecah amanah membabitkan Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 14 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah terdapat satu pertuduhan tambahan terhadapnya di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur, hari ini.

Kes tambahan baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan pertuduhan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu 46 pertuduhan setakat ini.
Ahmad Zahid meminta Hakim Rozina Ayob agar pertuduhan tambahan berhubung kesalahan pecah amanah jenayah harta milik Yayasan Akal Budi dibicarakan.
Hakim Rozina bagaimanapun menetapkan 20 Februari 2019 sebagai tarikh sebutan kes berkenaan dan tiada wang jaminan dikenakan terhadap Ahmad Zahid.
Ia merupakan pertuduhan ke-19 membabitkan Yayasan Akal Budi, di mana Ahamd Zahid didakwa melakukan kesalahan pecah amanah jenayah harta membabitkan RM10 juta milik yayasan berkenaan.
Dalam pertuduhan berkenaan, Zahid didakwa memberi pinjaman wang kepada sebuah syarikat yang mana jika bersalah boleh dihukum bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Manakala, 10 pertuduhan asal pula dibacakan di hadapan Zahid sebagai pertuduhan pindaan, membabitkan pertuduhan pecah amanah jenayah.
Pada 19 Oktober lalu, Zahid mengaku tidak tidak bersalah di atas 45 pertuduhan pecah amanah kerana menerima wang rasuah dan melakukan pengubahan wang haram melibatkan wang puluhan juta ringgit.
Ketika itu, 10 pertuduhan pecah amanah membabitkan jumlah tertinggi RM17 juta, di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, serta lapan lagi pertuduhan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah bagi pelbagai projek ketika menjadi Menteri Dalam Negeri.
Manakala 27 pertuduhan lagi berkaitan pengubahan wang haram berjumlah RM72 juta di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Pertuduhan pecah amanah pula didakwa dilakukan antara Januari 2014 hingga Mac 2018, kesalahan di bawah Akta SPRM itu antara Julai 2016 dan Mac 2018, manakala pengubahan wang haram sejak 27 Mac 2016. – MalaysiaGazette