Dr. Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Sejak penubuhan 347 Klinik 1Malaysia (K1M) di seluruh negara, tidak semua kemudahan kesihatan itu beroperasi secara efektif dan mencapai matlamatnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penutupan 34 K1M terpaksa dilakukan kerana ia tidak menepati kriteria yang ditetapkan.

“Purata kehadiran kurang daripada 40 pesakit sehari, terdapat fasiliti kesihatan kerajaan lain dalam lingkungan jarak 5 km dari K1M, ia tidak terletak di kawasan Projek Perumahan Rakyat dan dipersetujui oleh Jabatan Kesihatan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimuat naik pada laman sosial Facebook semalam berhubung penutupan 34 buah K1M.

Dzulkefly berkata, ia adalah langkah KKM melaksanakan Pelan Transformasi
Perkhidmatan Kesihatan untuk memberi nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada, selain menyusun keperluan dan mengoptima sumber manusia dan kewangan.

“K1M asalnya berperanan memberi rawatan kesihatan ringan kepada masyarakat di kawasan berpenduduk padat dan berpendapatan rendah.

“Bagaimanapun sejak penubuhannya, bukan semua K1M beroperasi secara efektif dan mencapai matlamat penubuhannya,” katanya.

Tambah beliau, walaupun KKM telah menetapkan kriteria, namun setiap K1M yang dipilih ditutup akan turut dinilai secara eksklusif bagi memastikan keputusan bagi penutupan adalah benar-benar wajar.

“Keputusan ini diambil kira bagi memastikan impak penutupan yang minima terhadap masyarakat setempat.

“Kerajaan sangat prihatin terhadap kebajikan golongan masyarakat B40 dan kerana itu, klinik-klinik 1Malaysia di projek-projek perumahan rakyat (PPR) tidak ditutup meskipun purata kehadiran pesakit kurang daripada 40 pesakit sehari.

“Proses penutupan fasiliti K1M adalah secara soft landing iaitu sehingga tamatnya tempoh sewaan premis masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, kakitangan di fasiliti K1M terlibat akan ditempatkan semula ke Klinik Kesihatan Induk masing-masing.

Tambahnya lagi, Klinik Komuniti akan diwujudkan bagi menambah nilai dari K1M serta penyusunan dan pengurusan sumber yang lebih efektif dan menjimatkan kos.

“Klinik Komuniti juga akan ditambah nilai dengan menempatkan Pegawai Perubatan dan Pegawai Farmasi di fasiliti terpilih secara berperingkat.

“Daripada 347 buah K1M semasa, sejumlah 293 akan ditambah nilai dan menjadi Klinik Komuniti.

“Manakala 20 buah akan dinaik taraf fasiliti kepada Klinik Kesihatan, manakala 34 yang lain bakal ditutup,” katanya lagi. – MalaysiaGazette