Nadia Murad
Nadia Murad

SINJAR, Iraq – Pemenang Anugerah Nobel Keamanan yang pernah dijadikan hamba seks oleh pengganas Islamic State, Nadia Murad berhasrat untuk menggunakan kemenangannya untuk membina sebuah hospital bagi mangsa-mangsa keganasan seksual di kampung halamannya di Sinjar.

Wanita berketurunan Yazidi itu berterima kasih kepada kerajaan Iraq dan Kurdistan kerana bersetuju dengan rancangannya itu, lapor Reuters.

Katanya, beliau akan menghubungi organisasi-organisasi bantuan kemanusiaan tidak lama lagi untuk memulakan pembinaan hospital tersebut.

“Dengan duit yang saya terima daripada hadiah Nobel Keamanan tersebut, saya akan gunakan untuk membina sebuah hospital di Sinjar bagi merawat orang sakit terutama sekali janda-janda dan wanita yang terdedah kepada keganasan seksual oleh pengganas Islamic States,” katanya kepada ratusan hadirin dan juga wartawan di kampungnya di Sinjar, utara Iraq.

Nadia dan seorang doktor dari Congo, Denis Mukwege menerima wang sebanyak AS$1 juta di atas usaha mereka menghentikan keganasan seksual sebagai senjata perang dan konflik bersenjata.

Beliau merupakan salah seorang daripada 7,000 wanita dan gadis yang ditangkap di barat daya Iraq pada Ogos 2014 dan ditahan oleh Islamic States di Mosul sebelum didera dan dirogol.

Nadia berjaya melarikan diri selepas tiga bulan dalam tahanan dan tinggal di Jerman di mana beliau memulakan kempen secara besar-besaran merayu sokongan untuk masyarakat Yazidi.

Kawasan Yazidi di Sinjar sebelum ini merupakan tempat tinggal kepada kira-kira 400,000 orang yang kebanyakannya berketurunan Yazidi dan Arab Sunni. – Agensi