Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata calon Speaker and Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah sudah dikenalpasti.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini menafikan parti itu dalam usaha mengukuhkan kedudukan menerusi penyertaan anggota Parlimen daripada UMNO.

JERLUN – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini menafikan parti itu dalam usaha mengukuhkan kedudukan menerusi penyertaan anggota Parlimen daripada UMNO.

Beliau berkata sebaliknya tindakan itu adalah selaras dengan amalan demokrasi yang membolehkan mereka bebas menyertai mana-mana parti politik dan terserah kepada parti berkenaan sama ada mahu menerima atau menolak bekas anggota UMNO terbabit.

“Ini yang saya jelaskan kepada rakan-rakan komponen bahawa dalam amalan demokrasi kita tak perlu menolak mana-mana pihak nak sertai Pakatan Harapan (PH) sebab belum tentu dia nak masuk Bersatu kan kerana ada yang dah sertai Parti Warisan Sabah, mungkin juga PKR, Amanah atau DAP

“Jadi kita patut terbuka, saya faham kegusaran rakan komponen dan kita terangkan kepada mereka bahawa ini tidak ada langsung datang niat kononnya nak mengukuhkan kedudukan Bersatu dari segi bilangan anggota Parlimen yang meningkat,” katanya kepada pemberita selepas Program Sumbangan Pakaian Sekolah Kembali ke Sekolah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan sekumpulan pemimpin UMNO termasuk wakil rakyatnya keluar parti secara beramai-ramai dengan sebahagian menyatakan niat menyertai Bersatu sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan pemimpin parti komponen PH yang lain.

Mukhriz juga menegaskan BERSATU akan tetap berpegang pada perjanjian kerjasama yang ditandatangani sebelum ini dan tidak akan mengambil sebarang keputusan yang boleh menjejaskan PH.

Tegasnya BERSATU juga bukan sebuah parti untuk bekas pemimpin UMNO “berlindung” daripada disiasat oleh polis atau pun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya telah melakukan kesalahan.

“Tapisan kita ambil serius, mana-mana pihak dan selepas menjadi ahli pun, tokoh itu tak akan dilindungi dan akan disiasat oleh polis atau SPRM. Kalau ada ahli UMNO keluar UMNO, masuk BERSATU kemudian disiasat dan bersalah, kita benarkan undang-undang itu berlaku,” katanya.

Berhubung enam anggota Parlimen UMNO yang keluar parti semalam, beliau berkata pihaknya belum menerima sebarang permohonan daripada mereka untuk menyertai BERSATU.

Pada program tersebut, kira-kira 1,000 murid sekolah rendah yang tidak berkemampuan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam dan DUN Kota Siputeh menerima set pakaian sekolah, stoking dan kasut sekolah.

— BERNAMA