Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir pada sidang media khas UMNO mengenai UMNO Sabah di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 12 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kerana keenganan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatannya sebagai Presiden, pemerhati politik menjangkakan lebih ramai ahli yang akan meninggalkan parti itu.

Kata Dr. Ahmad Atory Hussain, ahli parti itu bukan sahaja akan mengikut jejak pemimpin-pemimpin yang telah keluar UMNO, malah bimbang dengan kedudukan parti yang semakin goyah.

“Kalau tidak jawatan maka ahli2 UMNO atau pemimpin makin ramai lagi keluar. Kes Zahid, UMNO bakal diharamkan atau tidak kebimbangan ini yang akan membimbangkan ahli,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Zahid yang sekali lagi didesak melepaskan jawatannya selepas tindakan beramai-ramai ahli parti di Sabah keluar dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Bagaimanapun Zahid hari ini menegaskan tidak akan tunduk dengan gesaan, sebaliknya hanya akan patuh kepada Peraturan dan Perlembagaan UMNO yang mengatakan kedudukannya hanya boleh ditentukan oleh 2/3 perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO Khas.

Bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin juga menggesa agar pemilihan parti diadakan agar UMNO dapat diselamatkan.

Mengulas lanjut Atory yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) menganggap cadangan Khairy tidak akan menyelamatkan parti yang sedang berhadapan dengan krisis dalaman, sebaliknya ia akan merumitkan lagi keadaan.

Jelas beliau, ini kerana ia akan mengakibatkan pergolakan dalam parti itu, pertembungan antara satu sama lain.

“Tidak akan membantu UMNO, merumitkan lagi keadaan adalah,” tambah Atory.-MalaysiaGazette