HANOI – Malam ini adalah penentuan siapakah jaguh sebenar bola sepak Asia Tenggara.

Harimau Malaya bakal turun dengan kesebelasan utamanya dengan misi untuk mengulang kembali kenangan manis menjuarai Piala AFF kira-kira lapan tahun lalu sewaktu menundukkan Indonesia.

Walaupun sering dikritik kerana bola lawan sering membolosi tembok pertahanan, namun kali ini Aidil Zafuan Abd Radzak (pertahanan tengah), Syazwan Andik Ishak (bek kiri) dan bek kanan, Syahmi Safari (penggantungan) yang tidak dapat diturunkan dalam final pertama di Bukit Jalil, kembali memperkuatkan jentera di barisan belakang.

Jangan lupa juga kegagahan Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamadou Sumareh yang sering menganggu mimpi barisan lawan dengan gerakan licik dan berbahaya mereka.

Pendek kata, kesebelas pemain negara sudah bersedia berjuang bagi memastikan bendera Jalur Gemilang terus berkibar megah di persada arena bolasepak antarabangsa.

Walaupun di atas kertas, pasukan Naga Emas mempunyai kelebihan apatah lagi dengan kepantasan dan kelajuan yang dimiliki mereka, namun dalam bolasepak, tidak ada satu formula yang betul-betul boleh menjamin kejayaan satu-satu pasukan.

Boleh jadi di awal permainan sesebuah pasukan itu dilihat hampir rebah namun dipenghujungnya mereka bangun dengan penuh gagah.

Mungkin juga di awal permainan mereka lincah bertingkah namun menjadi lesu di pengakhiran!

Yang pasti laluan kita bukan mudah.

Kita perlu mencatat kemenangan ke atas Vietnam pada aksi final kedua seandainya mahu menjulang Piala AFF Suzuki atau setidaknya, pasukan kebangsaan perlu mengikat pasukan Naga Emas itu 2-2 bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lepas, Vietnam berjaya mendapatkan dua gol di tempat lawan di mana perlawanan berkenaan berakhir dengan keputusan 2-2.

Ia jelas menunjukkan tugas berat menanti anak buah Tan Cheng Hoe yang turut perlu mencari sekurang-kurangnya dua jaringan di Hanoi serta bolos tidak melebihi dua jaringan sekiranya gagal mencapai kemenangan dalam 90 minit masa permainan pada perlawanan Sabtu malam.

Kita tidak boleh mengulangi kesilapan yang melepaskan gol awal kepada pasukan Vietnam seperti yang terjadi dalam dua perlawanan sebelum ini di peringkat kumpulan dan dalam aksi final pertama.

48375055_290294484953567_650069636989059072_nDalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam tadi sempat memberi perangsang kepada pemain skuad Harimau Malaya.

Beliau juga mahu supaya mereka bermain dengan penuh semangat kesukanan bagi capai misi membawa pulang Piala Suzuki AFF ke tanah air.

“Saya ingin ucap selamat bertanding kepada pasukan Harimau Malaya yang akan beraksi di Hanoi, Vietnam. Buktikan kita mampu tewaskan pasukan lawan. Kepada Ultras Malaya, beri sorakan padu dan tiupkan semangat kepada pasukan kita,” kata Dr Mahathir menerusi catatan video di laman rasmi Facebook beliau.

Mungkinkah Stadium My Dinh akan mencipta sejarah untuk kita menjulang Piala AFF Suzuki buat kali kedua?

Berusahalah sebaik mungkin Harimau Malaysia.

Pada Allah, kita berserah.

Malaysia Boleh! – MalaysiaGazette