Pemain-pemain Vietnam menjulang trofi selepas menang dalam perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia menentang Vietnam yang berkesudahan 0-1 (agregat 2-3) di Stadium My Dinh, Hanoi, Vietnam.foto FAREEZ FADZIL, 15 DISEMBER 2018

HANOI – Harapan Malaysia untuk menamatkan kemarau lapan tahun menjulang Piala AFF Suzuki tidak kesampaian setelah kalah tipis 0-1 kepada Vietnam pada aksi final kedua di Stadium Nasional My Dinh, di sini, malam ini.

Keputusan itu menyaksikan Vietnam muncul juara buat kali kedua selepas 2008 menerusi keputusan agregat 3-2, dan ia sekali gus meranapkan impian Malaysia meraih kejuaraan kedua selepas edisi 2010.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan berkenaan seri 2-2 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Dis lepas.

Pada aksi malam ini, skuad Harimau Malaya jelas memberikan saingan sengit kepada skuad Naga Emas yang mendapat sokongan padu lebih 40,000 penyokong setia mereka.

Nasib bagaimanapun lebih menyebelahi Vietnam yang membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi rembatan Nguyen Anh Duc di dalam kotak penalti yang gagal ditepis oleh penjaga gol skuad negara, Farizal Marlias.

Selang empat minit kemudian, Malaysia berpeluang menyamakan kedudukan namun sepakan ‘back heel’ Mohamadou Sumareh hanya sedikit tersasar daripada tiang gol Vietnam.

MGF15122018_MAS V VIET FINAL_11
Pemain-pemain Malaysia kelihatan kecewa selepas tewas dalam perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia menentang Vietnam yang berkesudahan 0-1 (agregat 2-3) di Stadium My Dinh, Hanoi, Vietnam.foto FAREEZ FADZIL, 15 DISEMBER 2018

Muhammad Syahmi Safari hampir menyamakan kedudukan untuk skuad Harimau Malaya, namun percubaannya di dalam kotak penalti berjaya ditepis penjaga gol Vietnam, Dang Van Lam dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.

Sebaik sahaja perlawanan bersambung, Malaysia melancarkan serangan bertali arus dan Muhammad Safawi Rasid hampir menyamakan kedudukan untuk Malaysia pada minit ke-53, namun sepakan percumanya ditepis Van Lam.

Terdesak mencari gol penyamaan, pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe membuat tiga pertukaran pada pertengahan babak kedua perlawanan untuk memantapkan jentera serangan, namun ketangkasan Van Lam dan keampuhan benteng pertahanan Vietnam menyaksikan keputusan perlawanan tersebut kekal sehingga tiupan wisel oleh pengadil dari Iran, Alireza Faghani.

Terdahulu, pemain negara, Shahrul Mohd Saad dilayangkan kad merah oleh Faghani setelah mengutip kad kedua pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

— BERNAMA