KUALA LUMPUR – Menteri Besar, Amirudin Shari dibidas supaya tidak lagi mencampuri urusan berkaitan Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya, sebaliknya membiarkan Peguam Negara, Tommy Thomas menyelesaikan isu tersebut sebagai orang tengah.

Malah, tindakan Amirudin yang mengeluarkan kenyataan pihak pengurusan kuil perlu memulangkan wang pampasan sebanyak RM1.5 juta dan tapak baru seekar yang diberikan sebelum ini disifatkan ‘tidak kena tempat’.

Menurut Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah, sepatutnya Amirudin tidak bertindak menjadi ‘jurucakap’ kepada pihak pemaju dan meminta memulangkan peruntukan tersebut.

“Sejak bila pula MB Amiruddin menjadi jurucakap kepada pihak pemaju? Mengapa mahu kenakan syarat tiba-tiba? Mengapa mahu sibuk minta balik RM1.5 bagi pihak pemaju?

“Tommy Thomas telah memberikan khabar gembira semalam dengan menyatakan One City Development Sdn Bhd bersetuju memandangkan kuil itu akan kekal di tapak sedia ada.

“Awalnya, selama hampir 10 tahun kerajaan negeri tidak dapat selesaikan isu ini malah tidak mahu memberikan tanah itu kepada kuil kembali. Malah anda telah katakan tidak mempunyai kuasa untuk memberikan hak tanah itu kembali.

“Tidak juga boleh membeli tanah dan berikannya kembali kepada pengurusan kuil. Ini berlainan sekali dengan kerajaan terdahulu dalam isu kuil apabila sanggup menggunakan wang kerajaan serta sumbangan untuk bantu bina kuil dengan tanah yang telah diberikan oleh pemaju.

“Saya mohon kepada Amirudin, jangan beri kenyataan dan membiarkan kemelut ini terus berpanjangan, jangan biar mereka bergaduh antara satu sama lain. Biarkan wang itu untuk pembangunan kuil.

“Biarlah Tommy Thomas yang selesaikan isu ini, beliau telah dipilih untuk menjadi orang tengah bagi penyelesaian terbaik, janganlah beri kenyataan lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Kuil Seafield diminta pulangkan tanah, wang – MB Selangor

Beliau mengulas kenyataan Amirudin yang mahu pihak Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield memulangkan wang pampasan RM1.5 juta dan tapak baru seekar yang diberikan sebelum ini.

Amirudin berkata demikian susulan pengumuman Tommy Thomas bahawa pemaju bersetuju untuk memindahkan tanah itu kepada pemegang amanah yang ditadbir Mahkamah Tinggi sebelum dipindahkan kepada pemegang amanah yang akan dilantik.

Pampasan itu diberikan pemaju selepas pemegang amanah sebelum ini setuju untuk memindahkan kuil itu.-MalaysiaGazette