Syafiqah Shamsul tidak melepaskan peluang membaca buku "The End Of UMNO" pada Pelancaran Buku "The End Of UMNO? Where is UMNO headed after GE14?" di AIAC Auditorium (KLRCA) Bangunan Sulaiman, Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 20 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Kemelut kepimpinan UMNO pasca Pilihan Raya Umum ke-14 dilihat tiada kesudahan malah kini Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikatakan sebagai liabiliti kepada parti Melayu itu.

Penghijrahan beramai-ramai wakil rakyat dan ketua bahagian UMNO sejak awal minggu ini tidak membantu memulihkan parti itu sebaliknya timbul persepsi bahawa parti orang Melayu itu bakal berkubur bila-bila masa saja.
Perkara itu dilihat semakin serius jika kepimpinan UMNO gagal bertindak segera hingga memaksa Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan demi kelangsungan parti berusia lebih 60 tahun itu.
Terkini bekas Presiden UMNO itu dikatakan akan mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi hari ini di kediamannya bersebelahan dengan pusat beli-belah terkemuka di sini.
Mesyuarat berkenaan yang dijadualkan berlangsung esok bagaimanapun dibatalkan secara mengejut hari ini kerana dipercayai ia mahu diadakan secara tertutup hari ini.
Sumber dalaman MalaysiaGazette memberitahu mesyuarat berkenaan antara lain bakal membincangkan desakan kepimpinan dan akar umbi UMNO secara terbuka yang mendesak Ahmad Zahid melepaskan jawatan presidennya.
Bagaimanapun mesyuarat malam dikatakan sumber bukan untuk membuat keputusan bagi menentukan nasib Ahmad Zahid dan jauh sekali untuk membuat keputusan yang bakal menguntungkan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Apa yang pasti mesyuarat rahsia malam ini tidak melibatkan Dr Mahathir atau mana-mana pimpinan Pakatan Harapan sebagaimana yang berlaku sebelum ini untuk membentuk pakatan kerajaan baharu.  – MalaysiaGazette