Gunasekaran Kuppan

KUALA LUMPUR – MIC diberi peringatan supaya berhenti bermain politik serta melakukan provokasi kerana parti itu bukan lagi kerajaan pada hari ini.

Malah tindakan MIC menyuruh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berhenti campur tangan isu kuil Sri Maha Mariamman Seafields, Subang Jaya langsung tidak masuk akal.

Menurut mantan Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Gunasekaran Kuppan, MIC sepatutnya menyerahkan kepada kerajaan yang ada kini untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Cukup-cukuplah MIC. Bukankah anda sudah berkuasa selama lebih 60 tahun? Kini anda bukan lagi mempunyai kuasa bukan? Jika benar anda sungguh lantang dan hebat memperjuangkan nasib rakyat, anda tidak akan kalah sebegini teruk. Ternyata sudah tidak diterima lagi.

“Apakah anda sekelian khasnya Datuk T. Murugiah sudah lupa bahawa Amirudin dan Tommy Thomas adalah sebahagian daripada kerajaan Pusat dan kerajaan negeri? Kita boleh bekerjasama. Anda tidak perlu campur tangan dan tentukan siapa boleh bercakap dan sebaliknya.

“Cukuplah jangan politikkan semua isu, biar kami selesai cara baik untuk kebaikan semua, isu ini sudah hampir selesai, tidak perlu keluarkan kenyataan tidak berkaitan seperti ini,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Gunasekaran mengulas kenyataan Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah yang menyuruh Amirudin supaya tidak mencampuri urusan berkaitan kuil itu sebaliknya membiarkan sahaja Peguam Negaramenyelesaikan isu tersebut sebagai orang tengah.

Kata Murugiah, tindakan Amirudin yang mengeluarkan kenyataan pihak pengurusan kuil perlu memulangkan wang pampasan RM1.5 juta dan tapak baru seekar yang diberikan sebelum ini disifatkan ‘tidak kena tempat’.

ARTIKEL BERKAITAN: Sejak bila MB Selangor jadi jurucakap pemaju? Soal MIC

ARTIKEL BERKAITAN: Kuil Seafield diminta pulangkan tanah, wang – MB Selangor

“Sejak bila pula MB Amiruddin menjadi jurucakap kepada pihak pemaju? Mengapa mahu kenakan syarat tiba-tiba? Mengapa mahu sibuk minta balik RM1.5 bagi pihak pemaju?

“Tommy Thomas telah memberikan khabar gembira semalam dengan menyatakan One City Development Sdn Bhd bersetuju memandangkan kuil itu akan kekal di tapak sedia ada,” kata Murugiah.

Dalam pada itu, Gunasekaran berkata, MIC perlu lebih fokus isu-isu parti itu sendiri daripada ‘menyibuk’ urusan kerajaan tanpa alasan munasabah.

“Lebih baik MIC fokus dalam isu-isu mereka terlebih dahulu. Tommy, kerajaan negeri akan selesaikan perkara ini dengan pengurusan serta pemaju mengikut perundangan.

“Ada banyak lagi perkara berfaedah yang boleh dilakukan oleh anda daripada mengeluarkan kenyataan yang dilihat seperti hanya sekadar mahu publisiti untuk anda daripada melihat kepentingan rakyat,” tegasnya.

Semalam Tommy Thomas mengumumkan pemaju bersetuju untuk memindahkan tanah itu kepada amanah yang ditadbir Mahkamah Tinggi sebelum dipindahkan kepada pemegang amanah yang akan dilantik.

Pampasan itu diberikan pemaju selepas pemegang amanah sebelum ini setuju untuk memindahkan kuil itu.-MalaysiaGazette