Nu Skin
Pengurus Besar Nu Skin Malaysia dan Brunei, David Cheong bercakap kepada media pada Program Projek Senarai Harapan 2018 di Lobi Utama, Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM2.8 juta diperuntukan Nu Skin Malaysia untuk membiayai kanak-kanak yang menghadapi masalah jantung dan berlatar belakangkan keluarga yang tidak mampu.

Pengurus Besar NU Skin (Malaysia dan Brunei), David Cheong berkata, jumlah suntikan dana itu diberikan kepada Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) untuk membiayai sepenuhnya rawatan 185 kanak-kanak termasuk kos pembedahan di situ sejak sepuluh tahun lalu.

Bagi Nu Skin, menurut David, bantuan ini merupakan suntikan kegembiraan bukan setakat kepada kanak-kanak yang sakit untuk kembali sihat tetapi juga kepada ibu bapa yang tidak mampu untuk membayar kos rawatan anak mereka berjumlah puluhan ribu ringgit di IJN.

“Bila kita melawat kanak-kanak yang sebelum ini berada di wad, kebanyakan susah dan ramai antara mereka mempunyai keinginan, jadi dari situ kami nak berikan dia sedikit kegembiraan kepada kanak-kanak yang susah.

“Tahun ini kita beri RM500,000, dijangkakan kita telah memberikan RM2.8 juta kepada IJN untuk membantu kanak-kanak yang mempunyai masalah jantung,” katanya kepada pemberita pada majlis Senarai Harapan NU Skin Malaysia 2018 bersama-sama dengan Yayasan IJN.

Kedua-dua pihak ini telah bekerjasama sejak 2008 demi memastikan golongan sasaran dapat menerima bantuan yang diperuntukan.

Pada tahun ini seramai 33 kanak-kanak yang mengalami masalah jantung dibiayai penuh oleh NU Skin Malaysia, tambah David.

Dalam pada itu , Pengerusi Dana, Yayasan IJN Datin Julina Mohd Ali berkata, majlis yang diadakan pada hari ini adalah untuk meraikan kanak-kanak yang masih dan pernah mendapatkan rawatan masalah jantung di institut itu.

Katanya, apa yang diraikan adalah, impian mereka mendapatkan sesuatu seperti basikal, alat tulis, alat permainan yang lain termasuk anak patung menjadi kenyataan.

“Kita panggil 10 kanak-kanak hari ini bersama-sama ibu dan bapa mereka untuk diraikan, mereka gembira, kita juga gembira meraikan mereka,” katanya. -MalaysiaGazette