Datuk Musa Sheikh Fadzir

BUTTERWORTH – UMNO Pulau Pinang hari ini mahu Datuk Shabudin Yahaya melepaskan jawatan sebagai Anggota Parlimen Tasek Gelugor susulan tindakannya keluar parti itu semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata tindakan Shabudin keluar parti amat mengecewakan seluruh anggota UMNO Pulau Pinang terutama di Tasek Gelugor dan menyifatkan tindakan itu sebagai pengkhianatan kepada pengundi.

“Beliau bertanding pada pilihan raya umum lepas atas tiket UMNO dan Barisan Nasional, bukannya atas kapasiti peribadi dirinya sendiri atau calon Bebas. Jadi, saya cabar beliau supaya letak jawatan sebagai Anggota Parlimen Tasek Gelugor dan beri peluang kepada orang lain untuk bertanding semula,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan UMNO Datuk Shamsul Anuar Nasarah mengesahkan enam Anggota Parlimen UMNO keluar daripada parti itu.

Selain Shabudin, mereka ialah Anggota Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Dr Latiff Ahmad (Mersing).

Sementara itu, Ketua Bahagian UMNO Tasek Gelugor Muhamad Yusoff Mohd Noor yang turut hadir pada sidang media itu berkata keputusan Shabudin untuk keluar UMNO mengejutkan pihaknya.

Namun, katanya, UMNO bahagian itu akur terhadap keputusan Shabudin dan akan meneruskan perjuangan parti itu terutama dalam membantu penduduk di kawasan berkenaan.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tasek Gelugor Nor Hafizah Othman dalam kenyataan berkata anggota Wanita UMNO Bahagian Tasek Gelugor berpendirian teguh untuk terus setia bersama parti.

Mengulas laporan akhbar terdapat beberapa broker atau dalang yang menghasut anggota parlimen dari UMNO untuk keluar dari parti itu, Musa berkata UMNO Pulau Pinang akan mengambil tindakan tegas jika terdapat dalang seumpama itu.

“Mereka bersikap biadap dan telah mensabotaj UMNO.

“Jadi perlu tindakan pecat mereka dari simpan dalam parti, biarlah kita hilang seorang dua yang cuba menghancurkan UMNO,” katanya.

Mengulas cadangan Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin bahawa UMNO perlu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (AGM) atau pemilihan semula parti berikutan tindakan sekumpulan pemimpin UMNO bertindak keluar parti, Musa berkata tiada keperluan untuk parti berbuat demikian.

Beliau berkata UMNO masih mempunyai barisan kepimpinan untuk mentadbir parti itu.

“Tak perlu AGM, lainlah kalau ramai-ramai dalam kepimpinan parti yang keluar UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, Musa berkata UMNO Pulau Pinang akan terus memberi sokongan kepada Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

— BERNAMA