para ahli keluarga menangis selepas 11 maut akibat termakan nasi tomato di kuil di kampung Irawadi, Karnataka baru baru ini.

MUMBAI – Seramai 11 orang awam termasuk dua kanak-kanak meninggal dunia manakala 90 orang lagi jatuh sakit selepas mengambil makanan yang dihidangkan semasa upacara sembahyang di sebuah kuil di Karnataka, India semalam.

Menurut polis negeri itu, pihaknya mengesyaki ia sebagai keracunan makanan yang disengajakan oleh pihak tertentu.

Setakat ini, dua individu telah disoal siasat polis berhubung kejadian tersebut.

Kebanyakan penganut di kuil itu pengsan dan jatuh sakit secara tiba-tiba selepas mereka makan nasi tomato yang dihidangkan selepas upacara sembahyang di sebuah kuil Hindu di negeri tersebut.

Ramai di antaranya muntah, cirit birit dan mengalami kesukaran bernafas dan sedang dirawat di hospital.

Media di India melaporkan keracunan makanan itu disyaki berpunca daripada pencemaran makanan.

Namun menurut polis masih terlalu awal untuk pihaknya membuat sebarang keputusan sebelum siasatan menyeluruh dijalankan.

“Kami telah menghantar organ mangsa-mangsa yang telah meninggal dunia serta makanan yang disyaki diracun itu untuk ujian makmal dan masih menunggu hasil siasatan.

“Hanya selepas menerima laporan itu, kami boleh menentukan punca kejadian,” Kata pegawai kanan polis, Geetha MS.

Beberapa ekor anjing serta burung gagak hitam juga didapati mati selepas termakan nasi tomato tersebut.

Dalam pada itu kerajaan Karnataka akan menyediakan bantuan kewangan 500,000 rupees kepada ahli keluarga mangsa meninggal dunia menurut laporan media di India. – MalaysiaGazette