Mohd Tirmidzi Hairi Yazid tampil berbaju Melayu di Stadium My Dinh Hanoi.

HANOI – Memakai baju Melayu lengkap dengan sampin dalam cuaca dingin tidak menghalang seorang kakitangan awam bersama-sama ribuan penyokong Malaysia di Stadium My Dinh di sini hari ini.

Menurut Mohd Tirmidzi Hairi Yazid, 29, ini bukanlah kali pertama beliau ke stadium dengan berpakaian kebangsaan.

Tambah Penolong Pegawai Tadbir LPPKN ini, beliau berbangga berbuat demikian bagi apatah lagi bila berada di luar negara.

“Semangat Harimau Malaya saya terjemahkan melalui baju Melayu ini. Jangan tak tahu, saya terpaksa transit di Myanmar sebelum ke sini kerana kehabisan tiket.

” Saya anggap itu semua pengorbanan saya demi negara,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini malam ini.

Perlawanan final kedua itu bagi merebut Piala AFF Suzuki 2018 sebentar tadi menyaksikan Malaysia tewas 0-1.

Perlawanan final pertama di Stadium Bukit Jalil sebelum ini menyaksikan kedua-dua negara seri 2-2. – MalaysiaGazette