Gambar arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyedari banyak tanggapan dan anggapan yang dibuat oleh sesetengah pihak terhadapnya susulan tindakan Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang keluar parti.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyifatkan tanggapan itu semata-mata cuba mewujudkan rasa curiga dan syak wasangka mempercayai dalam hubungan baiknya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Matlamat pihak-pihak itu, dakwanya, sengaja mahu mengeruhkan hubungannya dengan Perdana Menteri.

Sedangkan, hakikatnya, Anwar berkata, beliau menyokong usaha dan kepimpinan Dr Mahathir dan akan terus bekerjasama dengan beliau dalam melaksanakan agenda Reformasi.

“Pakatan Harapan akan memberi fokus memacu pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan beban rakyat khususnya golongan miskin.

“Pakatan Harapan telah diberi mandat untuk memacu perubahan kepada kerajaan untuk menentang rasuah dan sentimen perkauman,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dr Mahahir dan Anwar adalah antara dua pemimpin Pakatan Harapan yang dikaitkan dengan tindakan beberapa Ahli-Ahli Parlimen dan wakil-wakil rakyat UMNO meninggalkan parti itu sejak kerajaan baharu mengambil alih sejak 10 Mei lalu. – MalaysiaGazette