HANOI – Personaliti radio Era, Haniff Hamzah tidak terkilan dengan kekalahan yang menimpa pasukan bolasepak negara walaupun jauh di sudut hati beliau mahu melihat Harimau Malaya menjadi juara Piala AFF buat kali kedua.

Beliau yang ditemui selepas perlawanan sebentar tadi berkata, sejak kempen Piala AFF, beliau mengikuti dengan rapat perkembangan pasukan negara itu.

” Walau kalah, saya kagum dengan mereka. Walaupun saya bukan orang yang layak untuk bercakap mengenai bolasepak, tetapi saya tahu mereka telah mempamerkan prestasi yang terbaik,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette di Stadium My Dinh sebentar tadi.

Malaysia kalah tipis 0-1 kepada Vietnam pada aksi final kedua di Stadium Nasional My Dinh, di sini, malam ini.

Keputusan itu menyaksikan Vietnam muncul juara buat kali kedua selepas 2008 menerusi keputusan agregat 3-2, dan ia sekali gus meranapkan impian Malaysia meraih kejuaraan kedua selepas edisi 2010.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan berkenaan seri 2-2 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Dis lepas. – Malaysia Gazette