Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali hadir pada Majlis Penyampaian Anugerah Tun Dr Siti Hasmah di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 DISMEBER 2018

KUALA LUMPUR – Para majikan diingatkan agar tidak mendiskriminasi pekerja-pekerja mereka yang menghidap HIV kerana mereka boleh menjadi individu yang mampu bersaing dengan pekerja lain.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, majikan juga perlu memastikan dasar di tempat kerja tidak menekan golongan tersebut kerana mereka juga boleh menyumbang bakti kepada masyarakat.

“Statistik menunjukkan bahawa 89 peratus penghidap HIV di Malaysia adalah mereka yang mempunyai pekerjaan.

“Untuk itu, kita perlu melindungi pekerja yang positif HIV ini dan berikan perhatian kepada mereka,” katanya.

Tek ucapan Dr Mahathir yang dibacakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad pada Majlis Makan Malam Anugerah Gala 2018, Yayasan AIDS Malaysia di sini malam ini.

Majlis tersebut turut dihadiri isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd. Ali dan Penuang Yayasan AIDS Malaysia, Datin Paduka Marina Mahathir.

Beberapa anugerah turut disampaikan kepada penerima pada majlis itu.

Dr Mahatir berkata, beliau kagum dengan khidmat oleh Yayasan AIDS Malaysia dan Majlis AIDS Malaysia kerana terus membantu kerajaan dalam mengatasi masalah tersebut.

Bercakap mengenai perkembangan sama, Dr Mahathir berkata, yayasan tersebut perlu mengendalikan peraturan bagi melindungi pekerja positif HIV agar terus diberikan perhatian.

“Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, beberapa ahli Kabinet telah menekankan pentingnya mempunyai peraturan untuk
menghentikan diskriminasi pekerja positif HIV.

“Ini penting untuk membina Malaysia yang mempunyai masyarakat yang memiliki rasa belas kasihan, adil dan menghormati hak dan martabat individu dalam usaha menentang HIV dan AIDS,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan