Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua kawasan di Terengganu terus dinaiki air selepas hujan berterusan yang bermula sejak awal pagi tadi.

Kawasan tersebut ialah Dungun dan Hulu Terengganu.

Laman portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan sebanyak empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka sejak petang semalam yang menempatkan seramai 149 mangsa daripada 39 keluarga.

Tiga daripada PPS yang dibuka di Hulu Terengganu itu adalah di Kampung Sekayu, balai raya Kampung Pelandan dan di Kampung Pengkalan Ajal.

Sebuah PPS lagi dibuka di Dungun iaiatu di Surau Besol Lama yang menempatkan 32 orang daripada tujuh keluarga.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal sama pula menyatakan, Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu telah melepasi paras bahaya apabila merekodkan bacaan setinggi 21.02 meter (m) berbanding paras bahaya 21.00 m.

Beberapa sungai utama lain juga kekal melepasi paras amaran setakat ini iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak merekodkan bacaan setinggi 34.48 meter berbanding paras amaran 34 meter, Sungai Chalok di Jambatan Chalok di daerah Setiu kini setinggi 7.89 meter (paras amaran 7.70 meter) dan Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu setinggi 19.68 meter (paras amaran 18.70 meter). – MalaysiaGazette