Mohamed Khaled Nordin
Mohamad Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membayangkan persetujuan supaya UMNO mengadakan perhimpunan agung khas bagi membincangkan nasib presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi Twitter, Naib Presiden UMNO itu mencadangkan supaya Bahagian UMNO di seluruh negara mengusulkan perhimpunan tersebut.

“Bahagian-bahagian boleh usulkan persidangan khas,” tulis beliau di laman sosial berkenaan.

Ahmad Zahid semalam dilapor tidak akan tunduk kepada desakan agar beliau meletakkan jawatan dalam UMNO.

Malah, beliau menegaskan langkah tersebut hanya boleh dibuat melalui perhimpunan agung UMNO dengan kehadiran dua pertiga perwakilan.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas satu demi satu pihak dalam parti itu mendesak supaya berundur berikutan tindakan 17 pemimpin dan wakil rakyat UMNO bertindak keluar parti.

Antara yang lantang agar Zahid berbuat demikian ialah Pemuda UMNO Alor Setar, Pemuda UMNO Sabah dan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Abdul Aziz Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Rembau yang juga bekas calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mencadangkan agar diadakan pemilihan semula dalam parti. – MalaysiaGazette