Muhammad Adib Mohd Kassim yang dilaporkan kembali kritikal akibat kecederaan dalaman yang dihadapinya selepas diserang dalam kejadian rusuhan kuil bulan lalu.

KUALA LUMPUR – Muhammad Adib Mohd Kassim berada dalam keadaan sedar dan mampu menggerakkan mata dan tangannya.

Namun, Muhammad Adib masih kritikal disebabkan kecederaan dalaman.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida berkata, anggota bomba itu masih memerlukan masa untuk sembuh daripada kecederaannya.

Malah, katanya, keadaan Muhammad Adib jauh lebih baik berbanding kali pertama beliau melawatnya.

Zuraida berkata, keluarga Muhamamd Adib akur dengan nasihat doktor untuk menggunakan semula sistem Veno-Venous Extracorporeal Membrane Oxygenation (VV-ECMO) bagi merawat anggota bomba itu.

“Saya meminta seluruh rakyat Malaysia berdoa supaya Muhammad Adib kembali sembuh,” katanya.

Institut Jantung Negara (IJN) dalam kenyataan pagi tadi memaklumkan anggota bomba itu kembali kritikal selepas mengalami kemerosotan progresif fungsi paru-paru dalam 24 jam.

Ini kerana, berlaku jangkitan mengakibatkan paru-parunya mengeras hingga menyukarkan Muhammad Adib menerima oksigen.

Malah, fungsi buah pinggangnya juga tidak bertambah baik, yang mana beliau masih memerlukan sokongan dialisis.

IJN berkata, mengambil kira keadaan semasa dan selepas perbincangan pelbagai disiplin, ia telah memutuskan untuk memasukkan semula sistem VV-ECMO lagi pada pukul 9 malam semalam untuk membantu dalam keperluan pernafasannya. – MalaysiaGazette