Sebahagian peserta tunjuk perasaan melakukan demonstrasi di Paris. foto BBC

PARIS – Beribu-ribu penunjuk perasaan terus mengadakan demonstrasi di jalan-jalan di bandar-bandar Perancis pada hari Sabtu bagi menentang kerajaan Emmanuel Macron.

Namun, jumlah peserta tunjuk perasaan yang diadakan pada hujung minggu itu lebih kecil berbanding sebelum ini.

Kementerian Dalam Negeri menganggarkan lebih 66,000 terlibat dalam demonstrasi minggu ini, separuh daripada peserta beberapa minggu lalu.

Di Paris pula, kira-kira 2,200 yang menyertai tunjuk perasaan itu, berbanding 10,000 orang pada Sabtu lalu.

Pengurangan jumlah peserta itu dipercayai pengumuman Macron untuk meningkatkan gaji minimum pekerja.

Penunjuk perasaan yang berlangsung selama lima minggu itu masih tidak mengendahkan arahan kerajaan untuk menghentikan demonstrasi walaupun berlaku serangan senjata di Strasbourg pada minggu lalu.

Di Paris, polis dikerah untuk bertindak ke atas keganasan yang ditimbulkan oleh demonstrasi.

Polis terpaksa melepaskan tembakan air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan dalam pertempuran kecil di Champs-Elysees dan jalan-jalan bersebelahan.

Media-media Perancis juga menunjukkan rakaman pertempuran antara polis dan penunjuk perasan di Nantes, barat Perancis dan di selatan Bordeaux dan Toulouse.

Penunjuk perasaan yang menggelar pergerakan mereka sebagai ‘yellow vest’ mula melancarkan demonstrasi pada pertengahan November susulan pengumuman kerajaan untuk menaikkan cukai bahan api.

Susulan itu, beberapa kejadian keganasan dan pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan berlaku.

Penunjuk perasaan itu dikatakan akan terus melancarkan demonstrasi sehingga masalah mereka ditangani. – MalaysiaGazette