SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan kira-kira RM10.1 juta kepada anak-anak golongan berpendapatan pertengahan sebagai bantuan persekolahan dan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi tahun hadapan.

Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid berkata, bantuan bagi golongan asnaf fisabilillah itu terbuka kepada mereka yang bermastautin di Selangor dan pendapatan seisi rumah melebihi daripada haddul kifayah dengan julat lebihan tidak melebihi jumlah maksimum RM3,000.

Katanya, bantuan itu boleh dipohon secara dalam talian.

“Bagi bantuan persekolahan tarikh tutupnya adalah 10 Feb 2019 dan bagi bantuan melanjutkan pelajaran ke IPT tarikh tutupnya pula adalah 31 Jan hadapan.

“Bagi bantuan persekolahan, LZS memperuntukan RM7 juta dan bagi bantuan IPT pula RM3.1 juta, tarikh tutup permohonan mungkin awal jika semua peruntukkan ini habis disalurkan.

“Bantuan akan disalurkan dalam masa 14 hari selepas permohonan diluluskan,” katanya kepada pemberita selepas program Zakat Street On Wheels di Bazar Larut Malam (Uptown) di Seksyen 24 Shah Alam malam tadi.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor itu bertujuan untuk menyampaikan maklumat zakat dengan cara mudah selain mendekati masyarakat yang tidak berkesempatan untuk datang ke kaunter LZS bagi menunaikan Rukun Islam itu.

LZS sebelum ini memperuntukkan lebih RM30 juta kepada lebih 60,000 orang anak asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor bagi membiayai persiapan persekolahan bagi sesi 2019.

Tambah Abdul Basith, kaunter LZS akan beroperasi setiap hari bulan ini bagi memudahkan orang ramai menunaikan zakat.

“Untuk bulan ini, LZS menyasarkan kutipan zakat kira-kira RM200 juta.

“Berdasarkan unjuran untuk perbelanjaan bagi menyantuni asnaf pada tahun hadapan, LZS memerlukan kira-kira RM900 juta dan buat masa ini LZS berjaya mengumpul kira-kira RM600 juta,” katanya.

Seramai 29 peniaga yang terjejas akibat kebakaran yang berlaku di bazar berkenaan pada 12 Nov lepas turut menerima sumbangan bernilai RM1,000 tiap seorang daripada LZS. – MalaysiaGazette