Speaker Dewan Rakyat mengesahkan penerimaan surat kekosongan kerusi Parlimen Cameron Highlands dari SPR

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini mengesahkan telah menerima  surat berhubung kekosongan kerusi Parlimen P.078 Cameron Highlands.

Yang Dipertua Rakyat, Datuk Mohamad Ariff  berkata, surat itu  diterimanya hari ini daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ini berikutan, penyandangnya, Datuk C.Sivarraajh telah gagal mengemukakan rayuan yang terakhir pada 14 Disember lalu, selaras dengan Seksyen 36A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kepada pihak Mahkamah Persekutuan.

Ia susulan daripada keputusan hakim Mahkamah Khas Pilihan Raya pada 30 November lalu yang mengisytiharkan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) bagi Parlimen tersebut pada 9 Mei lalu adalah tidak sah dan terbatal.

Mahkamah Tinggi juga pada 13 Disember lalu mengeluarkan perakuan menurut Seksyen 36(2)(a), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mengisytiharkan bahawa PRU kawasan Parlimen Cameron Highlands 9 Mei lalu tidak sah dan terbatal.

“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan satu Pilihan Raya Kecil bagi mengisi kekosongan tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette