BANGKOK – Filipina sekali lagi mencipta kejutan apabila Catriona Gray dinobatkan sebagai Miss Universe 2018.

Wanita negara itu pernah dinobatkan gelaran sama pada tahun 2015 menerusi Pia Wurtzbach.

Dengan kemenangan itu, Catriona menjadi Miss Universe Filipina yang keempat memenangi pertandingan selepas Gloria Diaz, Margie Moran dan Pia.

Pertandingan Miss Universe ke-67 yang diadakan menyaksikan Catriona diletakkan mahkota Miss Universe oleh pemenang sebelum ini iaitu Demi-Leigh Nel-Peters.

Catriona yang memakai gaun merah terang pada pusingan akhir tampil menunjukkan keyakinan tinggi dengan memberikan antara jawapan yang bernas pada soalan yang diajukan juri.

Dalam jawapan akhir yang diberikan, Catriona memberitahu pengalaman bekerja di kawasan sesak Tondo, Manila mengajar dirinya untuk melihat erti kecantikan sebenar apabila perlu bersyukur dengan melihat kehidupan kanak-kanak di situ.

Dalam pertandingan Miss Universe 2018 ini, tempat kedua dimenangi Ratu Cantik Afrika Selatan, Tamaryn Green dan Ratu Cantik Venezuela, Sthefany Gutierrez di tempat ketiga. – MalaysiaGazette