Himpunan solidariti menyokong Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO di Menara Dato'Onn di PWTC, esok.
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Satu himpunan solidariti dijangka diadakan di lobi utama Menara Dato’ Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, petang esok.

Himpunan anjuran Sekretariat Solidariti Amal Rakyat Malaysia (SARM) itu diadakan bagi menyatakan sokongan ahli akar umbi kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO.

Sehubungan itu, ahli UMNO dinasihatkan agar menaiki pengangkutan awam seperti komuter dan LRT untuk ke PWTC dengan memakai baju parti, berwarna merah dan baju solidariti DSAZH.

Menurut jurucakap SARM, bagi penyokong yang belum mendaftar sebagai ahli UMNO boleh menghubungi sekretariat berkenaan di talian 014-993 9139.

Ahmad Zahid kini dikatakan berdepan dengan tekanan berikutan 17 daripada 54 Ahli Parlimen UMNO lompat parti menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan segelintir Ketua Bahagian meletakkan jawatan.

Tindakan itu dipercayai berpunca daripada UMNO pimpinan Ahmad Zahid yang dikatakan tidak mempunyai hala tuju yang jelas selepas beliau diberi mandat sebagai presiden parti pada 30 Jun lalu.

Pada himpunan itu, Sekretariat SARM dijangka menyerahkan “mock-up” tandatangan ahli akar UMNO. – MalaysiaGazette