Zuraida
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin bercakap pada sidang media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 27 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin mahu semua pihak agar menghormati keputusan Nurul Izzah Anwar yang berhasrat melepaskan dua jawatan penting dalam parti itu.

Beliau berkata, perkara sama telah dilakukan sewaktu Nurul Izzah membuat keputusan untuk bertanding sebagai Naib Presiden PKR dalam pemilihan baru-baru.

“Saya percaya keputusan yang diambil oleh beliau telah difikirkan secara mendalam dari pelbagai aspek. Jika kita menghormati keputusan beliau untuk bertanding sebagai Naib Presiden Keadilan di dalam pemilihan parti yang lepas.

“Kini keputusan beliau untuk melepaskan jawatan tersebut juga perlu dihormati oleh seluruh kepimpinan dan anggota Keadilan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh meletakkan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang hari ini.

Menurut Nurul Izzah dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan tersebut sepatutnya dibuat lebih awal namun mengakui ia sesuatu yang sukar buat dirinya.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, sebarang tindakan susulan berkenaan isu ini perlu berpandukan perencanaan oleh Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya ingin menggesa agar semua pihak dapat menghormati keputusan beliau untuk melepaskan jawatan sebagai Naib Presiden Keadilan dan Pengerusi MPN Pulau Pinang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette