Konsortium IRAMA

KUALA LUMPUR – Konsortium Industri Rakaman Muzik (IRAMA) hari ini meluahkan rasa kecewa susulan kepada laporan media pada minggu lalu berhubung pengumuman pelantikan baharu ahli lembaga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Ia termasuk Datuk Samsuni Mohd Nor selaku pengerusinya oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada 22 November lalu.

Sehubungan dengan itu, Presiden IRAMA, Ayob Abdul Majid bersama seluruh ahli IRAMA menganggap pelantikan barisan baharu tersebut seolah-olah menidakkan kewujudan industri muzik tanahair yang selama ini turut sama menyumbang kepada pembangunan dan pendapatan negara.

“IRAMA merasakan sudah tiba masanya untuk kerajaan baharu hari ini mewujudkan satu badan khas sama ada di dalam Finas atau mewujudkan satu entiti baharu yang berasingan bagi mengawal selia segala aktiviti berkaitan pembangunan industri muzik Malaysia bagi memastikan suara orang muzik turut didengari.

“Kami berharap agar Gobind Singh Deo selaku menteri lebih peka dalam meneliti setiap informasi yang diterimanya berhubung industri muzik Malaysia. Kita perlukan wakil dari mereka yang terlibat dalam industri muzik dalam FINAS. Industri perfileman sudah mula menampakkan peningkatan dan perubahan tetapi sebaliknya industri muzik Malaysia sudah 60 tahun seperti tiada bumbung.

“Kita banyak rumah (persatuan) tapi malangnya kita masih tiada bumbung. Orang filem ada Finas sebagai bumbung mereka tapi kami sudah 60 tahun dianak tirikan oleh kerajaan terdahulu. Tindakan perlu diambil segera oleh kerajaan sekarang sebelum ia menjadi lebih parah,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehingga kini, menurut Ayob, masih belum ada wakil yang berani untuk membentangkan kertas kerja berhubung pembangunan industri muzik di Malaysia.

“Walhal sekiranya perkara ini dibawa ke meja perbincangan secara serius, industri muzik Malaysia mampu menyumbang RM300 hingga RM600 juta setahun kepada pendapatan Malaysia. Yang ada hanya pertikaian siapa benar dan siapa yang salah serta omong kosong yang belum mampu untuk direalisasikan,” katanya.

Menurut beliau, pendapatan warga seni khususnya dalam bidang seni muzik semakin hari semakin berkurangan hingga menyebabkan orang orang didalam industri terpaksa keluar daripada industri demi untuk mencari kelansungan hidup sekali gus untuk bertahan dalam kitaran ekonomi hari ini.

“Isu royalti sebagai contoh, sudah seringkali menjadi isu berulang di mana kerajaan masih gagal untuk memantau masalah pembahagian royalti kepada ahli ahli setiap badan kutipan royalti yang ada.

“Terkini, PRISM diarahkan supaya bubar oleh mahkamah tetapi masih belum ada sebarang berita bagaimana nasib beribu ahli-ahli bawah PRISM serta isu tuntutan royalti mereka yang sudah bertahun tertunggak.

“Ke mana agaknya hala industri muzik ini akan berada dalam tempoh masa 10 tahun yang akan datang? Adakah kita sudah ada perancangan yang jitu untuk masa hadapan kita?” soal Ayob.- MalaysiaGazette