KUALA LUMPUR – Malaysia telah memfailkan pertuduhan jenayah di bawah undang-undang sekuriti terhadap anak-anak syarikat Goldman Sachs Investment Bank (Goldman) dan beberapa individu lain.

Mereka ialah kakitangan Goldman iaitu Tim Leissner dan Roger Ng Chong Hwa bersama bekas pekerja 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan dan Low Taek Jho atau Jho Low.

Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan berkata, pertuduhan-pertuduhan membabitkan perlakuan dan bersubahat membuat pernyataan palsu atau mengelirukan oleh kesemua tertuduh bagi menggelapkan sejumlah AS$2.7 bilion daripada hasil tiga bon yang dikeluarkan oleh anak-anak syarikat 1MDB, yang diatur dan ditaja jamin oleh Goldman.

Tiga terbitan bon dengan nilai AS$6.5 bilion ialah:

  1. Bon AS$1.75 bilion yang diterbitkan 1MDB Energy Limited menerusi Pekeliling Tawaran bertarikh 18 Mei 2012 dengan kadar faedah 5.99 peratus setahun dan boleh ditebus pada 2022.

  2. Bon AS$1.75 bilion yang diterbitkan oleh 1MDB Energy (Langat) Limited melalui Memorandum Penempatan Tertutup bertarikh 17 Oktober 2012 dengan kadar faedah 5.75 peratus setahun dan boleh ditebus pada 2022, dan

  3. Bon AS$3 bilion yang diterbitkan oleh 1MDB Global Investment Limited menerusi Pekeliling Tawaran bertarikh 16 Mac 2013 dengan kadar faedah 4.4 peratus dan boleh ditebus pada 2023.

Leissner dan Roger dari Goldman didakwa bersubahat dengan Jho Low, Jasmine Loo (Penasihat Undang-Undang 1MDB) dan lain-lain untuk menyogok penjawat-penjawat awam Malaysia bagi mendapatkan pemilihan, penglibatan dan penyertaan Goldman dalam penerbitan bon-bon ini.

Goldman didakwa mendapat manfaat melalui penerimaan yuran taja jamin dari pengaturan kira-kira AS$600 juta, berkali ganda lebih tinggi daripada pasaran.

Selain daripada menerima secara peribadi sebahagian daripada hasil bon yang telah digelapkan, pekerja-pekerja dan pengarah-pengarah Goldman turut menerima bonus-bonus besar.

Malah, Pekeliling-Pekeliling Tawaran dan Memorandum Penempatan Tertutup untuk bon-bon tersebut yang difailkan dengan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan Malaysia didakwa mengandungi fakta-fakta tidak benar, mengelirukan atau terdapat peninggalan material dengan memberi para pelabur gambaran hasil terbitan bon akan digunakan untuk tujuan sah.

Skim tersebut direka dan digubah oleh tertuduh untuk menstruktur bon-bon secara penipuan kononnya untuk tujuan sah, sedangkan mereka tahu hasil daripadanya akan digelapkan dan dilencongkan secara penipuan oleh tertuduh bagi menipu Kerajaan Malaysia dan pembeli-pembeli bon.

Penipun itu melanggar undang-undang sekuriti di bawah Seksyen 179, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671).

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, Malaysia menganggap dakwaan dalam pertuduhan-pertudahan kepada semua tertuduh sebagai pelanggaran serius.

Bagi mencerminkan keseriusan, pihak pendakwaan akan menuntut denda jenayah terhadap tertuduh melebihi AS$2.7 bilion yang digelapkan melalui hasil terbitan bon dan AS$600 juta daripada yuran yang diterima Golman.

Malah, hukuman penjara terhadap setiap individu tertuduh dengan tempoh maksimum selama 10 tahun.

Peguam Negara berkata, penipuan tersebut telah menjejaskan pasaran modal dan sekiranya tiada tindakan undang-undang ke atas perlakuan mereka yang melemahkan sistem kewangan dan integriti pasaran akan lepas tanpa sebarang hukuman.

Tambahnya, selepas menonjolkan diri sebagai penasihat, pengatur yang ulung, standard yang tertinggi, maka Goldman hendaklah bertanggungjawab. – MalaysiaGazette