KUALA LUMPUR – Tindakan Nurul Izzah Anwar meletakkan dua jawatan penting parti sebagai langkah terburu-buru.

Ketua Cabang PKR Tanjong Karang, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sewajarnya menarik balik keputusan kerana perlu mengambil kira kepayahan akar umbi yang memilihnya pada pemilihan parti sebelum ini.

“Kami memohon agar Nurul Izzah menarik balik keputusan itu kerana jawatan naib presiden datangnya daripada undi anggota parti yang telah bersusah payah memenangkan beliau dalam pemilihan parti yang lepas.

“Kami juga amat terkilan dengan keputusan itu kerana beliau merupakan antara individu yang telah terlibat secara langsung sejak dari awal penubuhan parti yang juga Puteri Reformasi KEADILAN pada ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurul Izzah meletakkan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang hari ini.

Menurut Nurul Izzah dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan tersebut sepatutnya dibuat lebih awal namun mengakui ia sesuatu yang sukar buat dirinya.

Mohd Yahya juga berkata, Nurul Izzah digesa bertenang dan menimbangkan semula keputusan yang telah dibuat.

“Kami amat mengharapkan agar Nurul Izzah menarik semula perletakan jawatan sebagai Naib Presiden KEADILAN dan Pengerusi Majlis Perhubungan Negeri Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yahya juga menyifatkan tindakan Latheefa Koya yang mengeluarkan kenyataan terhadap Nurul Izzah secara terbuka tidak mencerminkan sikap sebagai seorang pimpinan kanan dalam parti itu.

“KEADILAN merupakan parti yang mengamalkan keterbukaan. Kami menghormati Latheefa sebagai mantan Ahli MPP.

“Beliau seharusnya menggunakan ruang yang sesuai serta mengadakan perbincangan dengan pimpinan untuk mendapatkan penjelasan serta menyatakan pendapat serta hasrat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette