Nurul Izzah digelar Puteri Reformasi oleh pejuang Anwar Ibrahim.
Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden, Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang dan semua jawatan dalam kerajaan termasuk Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Pengumuman yang agak mengejutkan itu bagaimanapun menyatakan, beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh yang dimenanginya atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Menurut Nurul Izzah, beliau sedih dengan keputusan itu, yang didakwanya sepatutnya dibuat lebih awal, tetapi keadaan tidak mengizinkan.

Menjelas lebih lanjut menerusi kenyataan yang dikeluarkan itu, beliau dikatakan tidak berpuas hati dengan perkembangan politik mutakhir ini, lebih lagi kemenangan pihak yang tidak disokongnya dalam pemilihan parti.

“Saya kekal sebagai Ahli Parlimen sehingga habis tempoh penggal PRU14, dan kekal sebagai ahli biasa PKR.

“Mulai hari ini juga, saya tidak lagi berkhidmat kepada kerajaan Persekutuan dalam apa sahaja kapasiti.

“Begitu juga peranan saya dalam syarikat berkaitan kerajaan di peringkat Pulau Pinang, saya serahkan kepada kepemimpinan parti,” katanya.

Nurul Izzah, puteri sulung Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyertai politik tahun 1998 sebagai membangkitkan semangat politik selepas bapanya dipecat dari UMNO dan dipenjarakan atas pelbagai kesalahan.

Penyertaannya bagaimanapun tidak terhenti di situ, sebaliknya dipilih oleh pucuk pimpinan parti sebagai calon dan bergilir memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh bersama ibu dan bapanya sepanjang tempoh itu, sebelum beliau bertanding semula pada PRU14 yang lalu.

Kata Nurul Izzah, beliau tidak menyesal dengan keputusan itu, sebaliknya menyifatkan telah melakukan yang terbaik untuk dirinya dan parti. – MalaysiaGazette