Kim Jong-un dan Donald Trump semasa pertemuan mereka kali pertama di Singapura pada Jun 2018. foto Reuters

SEOUL – Korea Utara mengancam untuk menghentikan sebarang usaha menghapuskan senjata nuklear buat selama-lamanya selepas pentadbiran Amerika Syarikat meningkatkan sekatan dan memberi tekanan terhadapnya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas tiga pegawai Pyongyang termasuk pembantu Kim Jong-un atas dakwaan melanggar hak asasi manusia.

Usaha menangani senjata nuklear Korea Utara menyaksikan perkembangan perlahan sejak pertemuan Jong-un dan Presiden Donald Trump di Singapura pada Jun lalu.

Kedua-dua pihak masih belum menyusun semula perundingan peringkat kerja antara Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo dan pegawai kanan Korea Utara, Kim Yong Chol, yang dibatalkan secara tiba-tiba pada bulan November.

Kementerian Luar Korea Utara dalam kenyataan yang dikeluarkan menyebut, Washington telah mengambil pendekatan sekatan sebanyak lapan kali terhadap beberapa syarikat, individu dan kapal bukan sahaja kepada Korea Utara tetapi Rusia, China dan negara dunia ketiga yang lain.

Jika pentadbiran Amerika Syarikat percaya peningkatan sekatan dan tekanan akan memaksa Pyongyang meninggalkan senjata nuklearnya, “ia akan dianggap sebagai perhitungan terbesar yang silap, dan ia akan menghalang jalan untuk menghapuskan nuklear di Semenanjung Korea selama-lamanya, menurut kenyataan itu.

Kenyataan Kementerian Luar itu dikeluarkan di bawah nama pengarah penyelidikan dasar Institut Pengajian Amerika. – MalaysiaGazette