Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik tidak terkecuali untuk melalui proses tapisan berhubung permohonannya bagi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, permohonan Abdul Rahim untuk menyertai parti itu tertakluk kepada proses tapisan yang akan dibuat oleh jawatankuasa parti berkenaan.

“Adalah tidak adil di peringkat ini untuk mengandaikan bekas pemimpin UMNO yang menyerahkan borang permohonan keahlian telah diterima menjadi ahli secara automatik.
“Permohonan mereka hendaklah dinilai terlebih dahulu sebelum Majlis Pimpinan Tertinggi membuat sebarang keputusan mengenainya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Muhyiddin berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan membuat keputusan samada menerima atau menolak permohonan tersebut setelah menerima laporan daripada jawatankuasa itu.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan, PPBM telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk meneliti dan menapis permohonan keahlian daripada bekas-bekas pemimpin UMNO.

Katanya, jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Jawatankuasa ini akan meneliti terlebih dahulu setiap permohonan yang diterima untuk memastikan pemohon tidak terpalit dengan sebarang amalan rasuah, salah guna kuasa dan jenayah.

“Bersatu akan mendapatkan kerjasama daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk melaksanakan proses tapisan ini.

“Selain itu, penilaian dari sudut politik juga akan dilakukan secara dalaman,” ujarnya.

Semalam, Abdul Rahim mengumumkan keluar UMNO dan menyerahkan permohonan untuk menyertai PPBM.

Abdul Rahim memberikan alasan bahawa tindakannya keluar UMNO adalah disebabkan kerana parti itu kini sudah tidak mempunyai roh perjuangan membela nasib orang Melayu dan roh itu sudah berhijrah ke PPBM. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/12/16/rahim-keluar-umno-mohon-sertai-ppbm/