Mohd. Redzuan dan Khalid Samad.

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof menafikan dakwaan Khalid Samad bahawa Qatar berminat untuk melabur dalam projek kereta nasional ketiga Malaysia.

Menurutnya, Pihak Berkuasa Pelabuhan Qatar (QIA) ada menyebut berminat untuk melakukan pelaburan di Malaysia, namun tidak menyatakan secara khusus mengenai projek yang hendak disertai.

“Pihak Berkuasa Pelaburan Qatar (QIA) telah menyebut bahawa mereka berminat untuk melabur di negara ini, tetapi (tidak ada) menyebut secara khusus mengenai projek ini (kereta nasional).

“Saya tidak tahu di mana dia (Khalid) mendapat sumber tetapi saya fikir apa yang dikatakan QIA ialah mereka mempunyai banyak dana untuk melabur di negara ini,” kata Mohd. Redzuan dipetik daripada Malaysiakini.

Menteri Wilayah Persekutuan semalam dilapor berkata individu dari Qatar berminat untuk melabur di Malaysia menerusi projek kereta nasional ketiga.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencetuskan idea untuk melaksanakan projek kereta nasional ketiga.

Kabinet bersetuju dengan syarat projek berkenaan tidak boleh melibatkan dana kerajaan.

Perdana Menteri juga sebelum ini berkata ada individu dari sektor swasta yang berminat melabur dalam projek itu. – MalaysiaGazette